Nama Syahir Iqbal Khan Akbar Khan mungkin tidak begitu dikenali peminat futsal tanah air kerana baharu dua musim terlibat di pentas futsal tertinggi tanah air.

Anak kelahiran Kelantan itu bagaimanapun telah mencuri tumpuan ramai dengan aksi cukup bertenaga dipamerkannya sewaktu menyarung jersi Selangor MAC dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023.

Hanya pada usia 18 tahun, Syahir sudah berjaya menampilkan kualiti tinggi berbekalkan ketenangan dan daya fikir yang baik sebagai pemain futsal.

Malah, pemain yang lahir pada 29 September 2005 itu turut memiliki kualiti rembatan tepat ke arah pintu gol lawan.

Sehubungan dengan aksi cemerlang dijelmakannya, Syahir turut terpilih bagi membawa cabaran negara Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Fergana, Uzbekistan bermula 7 hingga 11 Oktober ini.

Didedahkan dengan penerapan futsal moden sejak awal

Syahir Iqbal pada mulanya merupakan pemain bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Putera, Kota Bharu yang berstatus Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kelantan.

Apabila Kelantan menyertai saingan MPFL 2022, bakat Syahir yang ketika itu berada di tingkatan lima telah dikesan dan digilap oleh ketua jurulatih, Qusmaini Noor Rusli.

Ia jelas merintis kepada titik tolak buat Syahir untuk pembabitan lebih serius dalam sukan lima sebelah tersebut.

Mendapat pendedahan futsal moden yang diterapkan oleh Qusmaini dimana beliau terkenal dengan metodologi tersebut dilihat cukup membantu Syahir.

Syahir ketika beraksi menentang JDT dalam saingan MPFL 2023. Kredit foto: Selangor MAC

Hijrah Selangor MAC lebih mematangkan Syahir

Pendedahan yang diterima sejak usia 17 tahun memberikan ruang buat Syahir untuk terus melangkah dalam futsal selepas menyertai salah sebuah kelab gergasi tanah air, Selangor MAC.

Dibimbing oleh jurulatih dari Brazil, Edgar Eder Balsso menyaksikan Syahir lebih matang dalam menghadapi satu-satu perlawanan.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Syahir Iqbal merupakan antara tunjang kepada kekuatan Selangor Mac dalam meraih tempat ketiga Piala Futsal Malaysia dan mara ke separuh akhir MPFL musim ini.

Pikat hati pengendali baharu skuad futsal kebangsaan

Aksi matang serta pemahaman terhadap futsal moden dipamerkan Syahir telah memikat hati ketua jurulatih baharu skuad futsal kebangsaan, Rakphol Sainetngam.

Rakphol jelas tidak teragak-agak dengan membariskan Syahir dalam senarai pemain yang menyertai sesi latihan pusat skuad kebangsaan untuk menghadapi kelayakan Piala Futsal Asia 2024.

Kepercayaan itu juga pantas dibalas oleh Syahir Iqbal yang menjaringkan dua gol ketika bertemu Thailand dan satu jaringan sewaktu menentang Afghanistan dalam siri perlawanan persahabatan di Bangkok, Thailand.

Berkeupayaan dalam menyerap tekanan hebat pada usia muda mampu menjadi kekuatan terbesar buat Syahir untuk menjadi bintang utama skuad futsal negara satu hari nanti.